Anak Gadis Dalam Al-Quran

1. Kemuliaan anak gadis adalah pada kesungguhan dia menjaga kehormatan dan maruah dirinya. Allah menampilkan contoh yang terbaik dalam al-Quran tentang kisah anak gadis di Madyan.
2. Ketika lari keluar daripada kezaliman Firaun, Allah menggambarkan bagaimana Nabi Musa bertemu dengan dua orang gadis di Madyan. al-Quran menerangkan beberapa ciri yang ditampilkan oleh kedua anak gadis tersebut ketika mereka berusahah untuk mendapatkan air buat binatang ternakan mereka. Perkara ini direkodkan dalam surah al-Qasas ayat 22 hingga 26.
3. Menurut Sheikh al-Sabuni, kedua anak gadis ini amat memelihara kehormatan mereka dengan menjaga batasan pergaulan. Mereka mengasingkan diri mereka daripada bersesak dan percampuran yang terbuka sehingga keadaan mereka ini disedari oleh Nabi Musa. Perkara ini dipaparkan dalam al-Quran ketika babak anak gadis ini menunggu giliran mereka mengambil air.
4. Menurut al-Sa’di, Allah juga menggambarkan bagaimana anak gadis seharusnya hanya keluar rumah atas keperluan. Perkara ini digambarkan apabila anak gadis tersebut menerangkan kepada Nabi Musa bahawa mereka harus menguruskan urusan gembala mereka kerana ayah mereka telah terlalu tua.
Kata anak gadis tersebut seperti yang dinukilkan dalam al-Quran:
لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
Maksudnya: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “.
5. Apa yang paling jelas sekali adalah, kedua anak gadis tersebut digambarkan sebagai memiliki sifat malu yang tinggi. Perkara ini ditampilkan secara spesifik apabila Allah menerangkan perlakuan mereka ketika berjalan dengan lafaz “mereka datang berjalan dalam keadaan malu-malu.”Firman Allah:
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ
Maksudnya: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu…”
6. Begitulah kisah ringkas di dalam Surah al-Qasas yang membayangkan sifat anak gadis yang memiliki perwatakan yang baik serta berakhlak yg tinggi. (1) Mereka menjaga kehormatan serta batasan pergaulan, (2) mereka tidak keluar rumah melainkan dengan keperluan dan (3) mereka memiliki sifat malu yang tinggi.
7. Mereka tidak semudahnya menerima pelawaan atau pujuk rayu lelaki utk masuk ke rumah mereka sekalipun yg memujuknya adalah yang berkopiah atau digelar pendakwah. Semoga Allah memelihara anak gadis kita semua.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *