Salam Maal Hijrah, 1443H daripada seluruh Warga Yayasan Maghfirah

     1 Muharram bermula detik sejarah besar di dalam Islam iaitu penghijrahan
Rasulullah SAW dan Ummat Islam dari kota Makah ke kota Madinah. Pengorbanan yang
telah dilakukan demi untuk mempertahankan aqidah sehingga mereka sanggup
meninggalkan kota halaman mereka untuk kemaslahatan diri, keluarga dan agama mereka.
Sambutan Maal Hijrah yang dilakukan setiap tahun bukan hanya setakat sempena dan
peristiwa besar di dalam Islam, bahkan pengajaran tersirat dan tersurat untuk dicontohi
buat generasi ummat hari ini dan akan datang.

     Bulan Muharram sentiasa dikaitkan sebagai bulan perubahan, bulan pengorbanan
dan bulan yang mulia di sisi Islam. Penghayatan dalam meraikan adalah satu muhasabah
untuk kita bertanya adakah tahun demi tahun kita telah melakukan perubahan yang lebih
dari sebelumnya? Persoalan: Bagaimana kita ingin berubah? Bagaimana kita ingin jadi orang
berubah baik dan lebih baik? Dan bagaimana kita ingin memastikan kehidupan kita bahagia
dan bermakna? Dan langkahan kita tidak mundur tapi sentiasa rasa tertolak untuk menjadi
hamba Allah yang sejati.

     Kesalahan besar bagi orang yang ingin berubah adalah dia merasakan dia tidak layak
sehinggakan dia merendahkan dirinya dan akhirnya dia jauh dengan Allah dan manusia yang
soleh. Perasaan bersegera untuk melakukan kebaikan dibiarkan sehingga di telan masa
walaupun berkali-kali seruan dan bisikan kebaikan menerjah sanubari. Ada kebanyakan dari
kita memarahi dirinya, memukul dirinya tetapi tidak melakukan apa-apa akhirnya membawa
putus asa dan hidup dalam kegelapan. Naudzubillah. Apakah kita lupa dengan firman Allah
Taala:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
keadaan diri mereka sendiri (Surah Ar Raad:11)

Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)(Surah Al Qiyamah: 2)
Keberanian untuk berubah

     Antara usaha pertama orang yang ingin berubah perlu ada BERANI. Berani untuk
berubah. Berani untuk mengatakan bahawa ada kelemahan dan kekurangan yang perlu
diperbaiki. Berani untuk menyatakan kebenaran kesalahan diri tanpa menyalahkan orang
lain dan memberi alasan. Keberanian itu dari dalam diri kita, perlukan latihan sedikit demi
sedikit. Contoh kisah terdekat yang perlu menjadi teladan buat kita adalah kisah Kaab bin
Malik ketika mana sahabat-sahabat yang tidak ikut berperang member keuzuran.
Bagaimana jawapan beliau kepada Rasulullah apabila ditanya: Wahai Kaab, mengapa
engkau tidak ikut sertai kami? . Maka jawab Kaab: Tiada keuzuran padaku wahai Rasulullah!
Ya! Kaab berani untuk berkata benar walaupun pada ketika itu boleh sahaja beliau memberi
seribu alasan namun Allah telah memberikan dia petunjuk berada atas kebenaran.

Subhanallah!

     Begitu juga berani dalam menyampaikan risalah kebenaran ini. Kita menyedari Islam
adalah satu-satunya agama yang diterima oleh Allah Taala namun kita masih takut
menyampaikan fikrah Islam yang syumul ini, kita takut dengan celaan dan hinaan orang lalu
kita mengambil keputusan untuk berdiam diri. Marilah kita contohi Imam Ahmad bin Hanbal
yang berani mempertahankan kebenaran walaupun seksaan yang bakal dihadapi. Fiqh
dakwah yang ditanam oleh Imam Ahmad perlu disuburkan oleh generasi ghuraba’ di kala
ulama yang berdiam diri dan berpihak kepada musuh serta ketenatan ummah kini.

Mengharapkan keampunan dari Allah

     Keduanya,Kita menyedari kita adalah hamba Allah yang sentiasa mengharapkan keampunan
dari Allah di atas kesalahan kita zahir dan batin. Tidak pernah terlepas melakukan dosa
kepada Allah, manusia dan makhluk Allah. Orang yang ingin berubah dan ingin meningkat
perlukan Allah dalam hidupnya. Ya! Istighfar dan taubat mampu untuk mengubah diri anda!
Istighfar dan taubat mampu memperbaiki kehidupan anda. Allah Taala merakamkan di
dalam Al Quran:

Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, Sesungguhnya
Dia adalah Maha Pengampun. niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan
lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan Mengadakan untukmu kebunkebun dan Mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (Surah Nuh ayat 10-12)

     Lihatlah hari-hari kita bermula awal pagi sehingga kita tidur kembali adakah kita
telah mencuaikan hak Allah, adakah kita membuatkan orang terluka dengan kita dan
kehidupan kita serba tidak kena.. Maka kembalilah kepada Allah dangan istighfar dan taubat
memohon kepadaNya dengan bersungguh2 atas kesalahan yang kita sengaja dan tidak
sengaja.

Duduk dengan kami, Kita beriman sejenak!

     Begitu hebat kalam salafussoleh di kalangan sahabat dimulai dengan kata-kata Muaz
bin Jabal dan akhirnya menjadi sifir tarbiah: “Duduk dengan kami, kita beriman sejenak”!
Mereka menyedari bahawa iman mereka bertambah dan berkurang. Mereka tidak
bersendirian berada di dalam gua mengasingkan diri bahkan mereka mencari teman berada
dalam bulatan. Mereka sangat mempraktikkan sunnah Nabi s.a.w “النصيحة الدين “ dalam
kehidupan mereka bahkan saling menegur antara satu sama lain, menerima nasihat dan
sentiasa berada di atas petunjuk kebenaran.

     Nasihat yang akan diterima mungkin berat sekali ditelan kerana ia bersangkut paut dengan kesalahan dan kealpaan kerana ia
melibatkan kesediaan hati. Justeru, boleh menerima nasihat adalah faktor terpenting untuk
melakukan perubahan pada diri anda dan sekeliling anda.
Hasan al basri seorang tabiien tidak jemu-jemu untuk memegang akhlak ini. Beliau
menyanjungi tingi sifat ini bahkan menganggap menerima nasihat sebagai sepertiga dari
kebahagian hidup. Ie berkata:

     Tidak ada yang kekal dari kehidupan ini kecuali tiga perkara: yang pertama: Anda
mempunyai seorang saudara dengan persahabatan itu anda memperolehi kebaikan kerana
jika anda menyimpang dari jalan benar, maka dia akan meluruskan
Perubahan bermula dari diri kita.

     Justeru, perubahan pada diri sendiri bermula pada kesedaran diri kita sendiri.
Manusia dan teman sekeliling boleh membantu memberi sokongan dan dorongan, namun
jika kita tidak bersedia untuk berubah dan meningkat, maka jadilah kita orang yang rugi.
Itulah antara faktor untuk melakukan perubahan dalam diri serta menjadikan nasihat dan
teguran batu loncatan dalam kehidupan.

     Akhir sekali, mohonlah bantuan doa dan pertolongan dari Allah, kerana Dia yang
sentiasa mendengar luahan dan kesalan hambaNYA. Mulakan perubahan hari ini dengan
niat dan keazaman yang kuat kerana Allah semata-mata mengharapkan keredhaan dari
Rabbul Izzati. Semoga sambutan Maal Hijrah walaupun dilakukan dalam norma baru dan
sederhana, diharapkan yang paling penting adalah penghayatan dan keazaman untuk terus
melakukan pengorbanan dalam diri, keluarga dan Ummah keseluruhannya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *